Kaca dan Duri Kehidupan

Hidup Asas Perjuangan, Mati Asas Kejayaan

Sombong dan Ego

Mode: Tak Formal


Sombong dengan ego ni selalu terkait dek budak lelaki. Aku pun termasuk sekali. Dulu ramai orang cakap aku ni memang ego dan sombong. Biasalah, kekadang diri sendiri pun tak sedar jugak. Dulu, bila tengok orang yang selalu ponteng kelas, orang yang couple, perempuan tak pakai tudung, orang tak sembahyang, semuanya ibarat low standard atau low class berbanding aku. Tapi yang bolehkah kita yang beragama Islam ini pandang depa macam tu? Jom tengok video ni!





Salahkah Aku Mengajak?

  Manusia, manusia, dan manusia.
Bukankah malaikat sudah berkata,
Manusia ini kerjanya bertelagah,
Mereka lupa siapa mereka,
Mereka rasa mereka juara,

Sampai mana juara mereka,
Pingat tiada,
Hadiah entah ke mana,
Kenapa mereka keras kepala,
Walaupun tahu mereka tak kena,  
Cacian dihambur,
Makian dilontar,
Suara bergetar,
Bagai halilintar,
Semuanya persis,
Sapaan hamba,
Mengajak mereka,
Ingat semula,  

Aku bukanlah nabi lantikan,
Apatah lagi ustaz handalan,
Aku hamba,
lemah dan hina,
Salahkan aku mengajak sahaja?  

Apakah jika nabi berkata,
Ataupun jika ustaz menyapa,
Masihkah engkau mahu terasa?
Atau ia hanya propaganda,
Dirikau buat untuk kau elak.  

Cacilah aku,  
hinalah aku,
Meskipun aku berdiam dan kaku,
Sedangakan nabi dilontar batu,
Semua kerana Tuhan Yang Satu.    
Bersukalah engkau meniti waktu,
Bergelumang dosa biarpun tahu,
Nasihat dipalu,
peringatan menjadi kelu,
Masa hancurmu tak kan menunggu.  

Ibnu Ahmad, 18 Oktober 2011, Nizhniy Novgorod,  Russia.

Peringatan dan Dunia

"oleh itu, berilah peringatan, kalau- kalau peringatan itu berguna"

Dijadikan Allah manusia yang berbagai ragam dan rupa, Masing- masing mencari kebahagiaan hidup. Pelbagai kamus dan definisi dicirikan untuk mengukir kebahagiaan dalam hidup. Ada yang bahagia dengan cintanya terhadap kekasih manusiawi, ada yang bahagia dengan kemewahan dimiliki, ada yang bahagia dengan darjat yang ada, ada yang bahagia dengan ego yang tinggi, dan juga bahagia dengan kehidupan yang bebas dari cengkaman ibu bapa, dan agama. Apakah bahagia ini bertahan lama?

Manusia sentiasa lupa. Ada yang lupa dalam sedar, ada yang lupa dalam ingat, ada yang lupa dalam jahil, dan yang lupa dalam alpa. Namun rahmat Allah tetap memgatasi kealpaan dan kelupaan hambaNya kerana Dia sebagai pencipta memahami manusia yang mempunyai kelemahan ini. Taubat itu dibuka olehNya seluas langit dan bumi, namun yang menjadi persoalan adalah apakah manusia mahu bertaubat atas kemaafan yang Allah berikan atau kekal bergelumang dalam dosa?

Alasan demi alasan diberikan untuk menghalalka perbuatan dosa yang dilakukan. Bukanlah halal itu bermaksud dia merelakan dosa untuk dilakukan oleh diri sendiri, namu beratnya hati untuk cuba berubah sedikit demi sedikit merupakan sifat manusia yang bukan fitrah, tapi atas nasihat syaitan. Manusia itu sedar, bahawa perubahan mendadak adalah mustahil dan jangka pendk. Namun perubahan berkala, atau sedikit demi sedikit merupakan satu tuntutan dalam kehidupan manusia yang fitrah. Kerana itulah Allah mengingatkan manusia untuk sentiasa mengingatkan sesama saudara dengan landasan Al Quran dan Sunnah.

Namun manusia tidak sesekali dibenarkan untuk membenci apatah lagi menghina pelaku dosa. Biarpun besar dosa yang dilakukan, hakimnya tetap Allah, kerana Dia mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Seorang manusia yang berpegang kepada Al Quran dan Sunnah, pastinya akan membenci apa sahaj perbuatan dosa, namun tidak akan sesekali membenci orang yang melakukan dosa. Kerana orang yang melakukan dosa itu adalah refleksi seorang muslim, untuk menunjukkan bahawa dirinya masih lemah dalam mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar.

Apakah pula manusia yang tidak mengambil peringatan itu akan riang dan bahagia dengan dosanya? Apakah Allah akan membiarkan mereka seperti layang-layang yang terputus tali? Apakah layang-layang yang terputus tali akan terus terbang atau ia tetap menjunam turun ke bumi? Yang menjadi persoalan di sini masa. Dan kerana itulah Allah bersumpah demi masa, Surah Al - Asr ayat 1-5.

Dan berilah peringatan kepada manusia kalau-kalu peringatan itu berguna.Kerana orang yang takut akan menerima peringatan itu. Dan orang yang sangat celaka akan menjauhinya, dialah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar.Selain dari itu ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.

Surah Al- Ala, Ayat 9-13

Apabila Manusia itu Kiblatnya Barat!

Fuh......Fuh........, Banyak debu blog ini. Dah lama tak 'update', Sekajap ada semangat, bila tulis 'last' sekali jadi draft. Banyak la 'draft' dalam tab 'post' ni. Kalau dibandingkan dengan bilangan 'published', boleh dapat nisbah direct and indirect bilirubin.

Alhamdulillah, sepanjang cuti ini banyak juga kembara ilmu yang berjaya ditempuhi. Semuanya kerana Allah. Tetapi yang berlaku semalam agak menarik. Berlaku pada 1 Ramadhan, permulaan bulan yang penuh rahmat dan berkat dari Allah, rupa-rupanya terdapat banyak tarbiah yang Dia telah rancangkan untuk hamba-hambanya berfikir.

'Mengembara' di KL sebentar atas urusan yang agak 'rasmi' dengan pihak penaja dan kawan memang agak memenatkan. Namun bak kata SaifulIslam.com "jangan jadikan puasa alasan kepada produktiviti menurun". Mungkin disebabkan muka ini yang 'agak peramah' (barangkali) sepanjang sehari berada di KL, terjumpalah dengan tiga orang hamba Allah.

Hamba Allah 1- Orang South Afrika, Belajar Ekonomi,
Saya tengah menunggu rakan saya di KL Sentral. Pleh sebab saya tidak suka orang menyalahtafsirkan saya sebagai kaki lepak (berdasarkan saiz badan) maka saya mula membaca dengan khusyuk akhbar NST. Tatkala duduk seorang diri, tiba-tiba datanglah seorang hamba Allah, orang Afrika ini duduk di sebelah saya. Saya teruskan membaca, sampailah dia tanya, jam pukul berapa, taktik sosial biasa untuk membuka bicara panjang lebar. Itulah hikmahnya berlakon membaca surat khabar NST. Maka dipendekkan cerita, perbualan kosong berlaku dengan rancak. OSA (gelaran untuk beliau, Orang South Africa), merupakan seorang yang kaya, bakal melancong ke Bangkok dengan cara memonteng kelas. Hidup OSA ini sangat mudah, dia sudah ada semuanya kecuali perempuan, dan dia sukakan seks bebas. Hidupnya hanyalah untuk mencari keseronokan hidup dengan cara hiburan melampau dan pergaulan bebas. Justeru dia sentiasa mengisi kekosongan yang infiniti dalam hatinya.

Hamba Allah 2- Mak Cik Johor
Saya panggil Mak Cik Johor sebab dia dari Johor dan secara tidak sengaja kenal di stesen bas bukit jalil. Saya ingatkan dia penumpang yang nak pergi Utara, rupa-rupanya , dia tengah menggelepaq (gelabah) sb telefon dia rosak, dan dia tiada duit syiling untuk pakai telefon awam (wujud lagi telefon awam rupanya). Dipendekkan cerita, lepas dia telefon anak dia, dan anak dia datang, saya terkejut. Bukan sebab anak perempuan dia lawa, tetapi anak lelakinya yang memakai short, bahagia bersalaman dengan saya, sambil senyum. Mak Cik tu baik dan menutup aurat dengan sempurna (barangkali!), namun agak menjadi gaya dalam masyarakat apabila kita melihat ibubapanya yang menjaga agama mereka dari segi zahirnya, akan tetapi, anak-anaknya, seringakli terabai agama mereka. Sebab itu, di masjid, hanya ada pakcik-pakcik tua yang sudah senja sahaja, sedangkan anak-anak mereka masih berada di rumah ketika sembahyang dilaksanakan pada waktu Maghrib.

Hamba Allah 3- Cikgu Pendidikan Khas
Abang ni saya jumpa kat Bukit Jalil jugak. Dia sedang kursus KPLI. Oleh sebab dia terlampau ramah (mulut banyak), habis semua topik dia canangkan. Dia dah kahwin (aku bila lagi ya??), dah ada anak kecik umur 4-5 tahun (tak ingat pulak), graduan Ijazah Sarjana Muda IT. Dulu dia bekerja di Jusco, sekarang dia ambil KPLI, alasannya, dia nak luangkan masa lebih bersama keluarga, sebab masa kerja di sektor swasta, dia tak ada banyak masa nak luangkan, dan dia sangat fokus pada anaknya yang masih kecil. Maka ber'tan-tan'lah nasihat yang dia berikan kat saya berkenaan isu 'cabaran menghadapi gelora rumah tangga dan cara terbaik menanganinya' (senang cerita, FAMILY). Dia menjadi cikgu pendidikan khas bukan kerana niatnya hendak membantu anak-anak bangsa, apatah lagi kerana Allah, tetapi hasratnya hanya untuk kesenangan dunia, anak-anak dan isterinya (yang juga bekerja di sektor swasta). Dia mungkin bercita-cita tinggi, mahu belajar sehingga di peringkat Master, namun niatnya hanyalah duit dan kesenangan. Mudahnya pemikiran dia.

Cacamerba.
Baru-baru ini Barack Obama mempertahankan pembinaan masjid di tapak yang berdekatan dengan Ground Zero. Alasanya, Orang Islam mempunyai hak untuk mempraktikan agamanya selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang AS. Itulah propaganda barat apabila bercakap soal kehidupan. Mereka berjaya mengubah pandangan manusia, agar melihat kehidupan dunia sebagai syurga, dan akhirat sebagai perkara yang mustahil. Lihat sahaja, pemikiran manusia, baik Islam mahupun yang beragama lain, kemewahan dan kesenangan hidup di dunia merupakan suatu ukuran kejayaan individu. Maka terhasilnya pelbagai definisi individu terhadap makna hidup. Yang pasti, jikalau seorang manusia melihat dengan akalnya, hidup yang dilaluinya, adalah kitaran roda yang berpusing dan terus berpusing tanpa henti, yang berganti hanyalah generasi baharu darinya, kerana mereka telah berkiblatkan manusia 'bertamadun' bergelar Barat. Tatkala mereka memahami dan menjumpai kiblat yang sebenar, mereka akan sedar bahawa hidup ini hanyalah pengembaraan mimpi yang pastinya akan hilang untuk menghadap realiti yang telah pasti, sama ada ianya Syurga atau Neraka.

Erti Hidup Dalam Berkorban


"Kak, kenapa kak keja kat sini?," tanya aku sewaktu di stesen metro dubai.

"Dah rezeki kat sini, nak buat camana," sampuk kawan aku tanpa diundang.

Dah lama artikel ini ingin saya nukilkan. Bukan apa, sekadar renungan buat saudara-saudara yang masih terus bekorban, bukan sahaja untuk ibu-bapa mahupun penaja, tetapi yang penting untuk agama Islam yang lekat di hati.

Pelik juga apabila ada rakyat Malaysia yang sanggup bekerja di Dubai yang panasnya boleh mencecah 40 darjah Celcius. Tambahan pula dia seorang perempuan, bertudung litup kemas menutup aurat, bekerja sebagai penjual tiket metro di Dubai. Tapi kenapa harus di Dubai?

Ketika kaum Muhajirin berhijarah ke Madinah, kebanyakan dalam kalangan mereka hanya sehelai-sepinggang, meninggalkan semua kemewahan dan harta di Makkah dalam satu malam. namun tatkala mereka tiba di Madinah Al Munawwarah (Madinah Bandar Bercahaya), kaum Ansar terus bekorban harta untuk diberikan kepada saudara-saudara mereka yang bersusah payah datang ke Madinah demi meneruskan perjuangan Islam yang semakin hari, semakin berkembang.

Sama jugalah seperti manusia. Insan yang cepat pelupa ini kadangkala lupa mengenai pengorbanan orang lain kepada dirinya sendiri. Hanya tuan punya badan yang berkorban tahu harga pengorbanan yang diberikan. Namun manusia tetap manusia, kadang-kadang mereka kekok untuk bekorban untuk saudaranya. Mereka lebih suka 'berjaya seorang diri' atau 'kaya seorang diri' dan biarkan yang lain menggelepar kesusahan. Bagi mereka erti pengorbanan itu haruslah dibayar kembali dengan sesuatu yang berbaloi. Tanpa balasan, pengorbanan itu tidak bermakna. Namun betulkah ia?

Kakak metro itu mungkin berkorban untuk mencari rezeki agar keluarganya hidup senang di Malaysia. Namun dia tidak meminta untuk dibayar kembali harga pengorbanan itu yang bukan sahaja melibatkan tenaga, malahan juga masa yang tidak mampu diputar kembali. Semoga orang-orang yang mengorbankan hidupnya untuk Allah dibalas dengan ganjaran yang besar.

Abraham Lincoln pernah berkata 'Do not ask what the country have done to you, ask what have you done to your country".

Persoalan terakhir, sanggupkah anda bekorban untuk saudara anda? Tepuk dada tanya iman.

Itu Dua Puluh - 2 0

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Kata Professor Hamka:

"Kita mampu menghitung usia yang telah terkandung, namun kita tidak mampu menghitung usia yang masih tinggal"

Islam-Iman-Ihsan

Tarbiah Dan Ujian Allah itu Pasti.

"You suka buat decision sendiri, tidak beritahu I pasal kelas tambahan ini," marah seorang pelajar kepada saya. Kemudian, bang! Pintu kelas menjadi mangsa. Entah apa dosanya kepada si pemarah.

Hari itu niat ikhlas saya mengingatkan semua rakan mengundang marah seorang rakan yang tidak dijangka. Ibarat bom jangka yang meletup. Sabar atas iman yang ada.

Ini bukanlah kali pertama saya dituduh dengan perkara yang bukan-bukan (Bahasa Melayunya , difitnah). Sejak dari bangku sekolah lagi fitnah ini menjadi sajian hidup dalam menjalani kehidupan sebgai seorang yang bergelar pemimpin. Kadang-kala sedih juga apabila melihat rakan yang dekat mefitnah diri ini.

---------------------------------------------------------------------------------------

Tarbiah Allah Maha Bijaksana.

Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan meminta wasiat (nasihat) daripada Baginda. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Janganlah kamu marah! (Baginda mengulangnya beberapa kali dengan pesan yang sama: Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah!” [Hadith riwayat al-Bukhari]

Terlintas hadis ini yang tertulis dalam sebuah buku yang saya baca, (terlupa tajuknya) . Merupakan sifat seorang lelaki yang mempunyai ego untuk melenting kembali tatkala dimarahi atas tuduhan yang tiada asas. Walaubagaimanapun, suruhan Rasulullah itu lebih diutamakan kerana ia lebih dekat dengan fitrah manusia yang sukakan kedamaian. Atas sebab itu, Rasulullah s.a.w lebih dahulu mengajarkan umatnya untuk tidak mencurahkan minyak kedalam api. Maha Suci Allah yang mengajarkan manusia melalui Rasul utusanNya. Dalam surah A'li Imraan, Ayat 133-134, Allah berfirman,

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baikuntuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu , dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi , yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihani orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik."

Sudah terang lagi bersuluh, menahan kemarahan atau bersabar merupakan perkara yang dituntu dan diajarkan oleh agama. Inilah Islam sebagai cara hidup yang lengkap.
Penurunan Al-Quran dan hadis cukup sempurna kepada seluruh manusia. Islam mengajar kita cara menghadapi hidup dengan acuan sebagai seorang manusia yang fitrah. Al-Quran bukan sekadar dibaca setiap hari, tapi ia adalah 'buku teks' yang perlu diasimilasikan kandungannya untuk diamalkan dalam kehidupan. Merupakan satu kerugian bagi orang-orang yang beriman untuk tidak mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Tuduhan melulu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan" Surah Al-Hujarat, Ayat 6.


Islam juga mengajarkan kita untuk tidak bertindak melulu dalam aspek kemasyarakatan. Lihatlah situasi masyarakat sekarang ini, berita yang buruk serta tuduhan melulu menjadi satu lumrah yang dicanang oleh kebanyakan masyarakat. Mereka lebih suka menuduh berbanding menyelidik. Akhirnya, perkara ini menjadi bahan umpatan, fitnah dan akhirnya menzalimi si tertuduh. Semuanya hanyalah gara-gara khabar angin atau tohmahan yang dilemparkan. Apakah kita gagal dalam mengambil iktibar dalam Ayat Al-Quran di atas.

Maka jika itu yang kita alpai, ingatlah akan hadis ini:

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: "Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?"

Lalu jawab sahabat: "Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?"

Lantas Baginda bersabda: "Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh) dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kabajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka." Hadis riwayat Muslim.

Mahukah kita menjadi orang yang muflis di hari akhirat kelak! Tidak sia-siakah amal yang dilakukan sepanjang kehidupan kita, mengalir dek dosa kita kepada orang lain. Bukankah kita disuruh menjaga hubungan kita sesama manusia?

Refleksi atau Muhasabah?

Setiap pendakwah amat menakuti fitnah yang mungkin dilakukannya. Hal ini kerana fitnah terhadap agama adalah lebih menakutkan berbanding fitnah terhadap diri. Oleh itu, seringkali golongan pendakwah bermuhasabah diri, atau dengan kata mudah melakukan refleksi terhadap diri setiap hari agar dakwahnya dapat diperbaiki dan fitnah dapat dielakkan. Namun, dalam konteks ini, sebenarnya, bermuhasabah diri adalah sesuatu yang dituntut agama terhadap setiap individu Muslim. Sifat suka menuduh orang yang menjadi norma dalam masyarakat jahiliyah kini adalah lebih baik digatikan dengan sifat bermuhasabah diri, kerana dengan sifat itu sahaja, fitnah akan tertepis dengan sendiri. Kita tidak perlu melawan api dengan minyak, kerana diri sendiri yang akan hangus menjadi abu. Sebaliknya, hanya melalui sifat muhasabah, seseorang individu akan dihormati oleh masyarakat kerana mujahadah dirinya yakni ketekunan untuk menjadi individu Muslim yang lebih baik.


Akhir kalam, Allah menurunkan ujian bukan hanya sekadar menguji, tetapi sebagai satu bentuk didikan (tarbiyah) dan untuk diambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku. Semakin tinggi iman seseorang, semakin getir ujian Allah, dan semakin sayang Allah kepada hamba Nya. Jalan keluar kepada permasalahan manusia hanyalah melalui "silibus" Nya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Wallahualam.


Make Money Online